“Malang bagi MRSM ada pelajar pandai tapi kejadian begini masih terjadi”- Datuk Seri Mahdzir Khalid

Padang Terap: 6 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli secara kekerasan seperti rakaman video yang tersebar di media sosial semalam, digantung sekolah serta merta selama 2 minggu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mengesyorkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian di institusi berkenaan.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM sudah memanggil 10 pelajar yang terbabit dengan insiden berkenaan.

“Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terbabit memukul mangsa manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi. Pelajar-pelajar ini berada di Tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Padang Terap, Naka di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim.

Mahdzir berkata, Mara memandang serius insiden buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap kes terbabit, Mahdzir berkata pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan siasatan luaran.

Beliau menambah, Mara hanya mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang ditetapkan JDM dan kes ini akan dibawa ke Jawatankuasa Displin Rayuan Maktab.

“Apa keputusan polis terserah kepada polis, kita (Mara) putuskan urusan dalaman sahaja,” katanya.

“Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.

“Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir memberitahu kejadian buli itu tidak akan mengganggu proses pengambilan pelajar MRSM pada tahun depan.

Katanya, sesi temuduga bagi pengambilan MRSM akan diteruskan seperti biasa termasuk menggunakan prosedur sedia ada.

“Sesi temuduga akan diteruskan seperti biasa kerana kita perlu mengambil pelajar untuk kemasukan tahun depan. Kes ini adalah kes terpencil dan ia sekali sekala berlaku, ini emosi anak muda, kalau kita baca laporan penuh itu ia lebih kepada kemarahan, kalau kau lapor benda (perkara) ini aku akan buat kau, lebih kurang macam itulah.

“Tak tahulah sekiranya ada peluang kedua dalam hidup dia (mereka), budak-budak lagi, kita akan laksanakan cadangan itu bermakna dia pergi sekolah lain,” katanya.

Mahdzir dalam pada itu, turut menasihatkan pelajar di bawah KPLB supaya membuat laporan kepada pengetua atau guru, tenaga pengajar serta kaunselor sekiranya berlaku kejadian seumpama itu.

Semalam, polis menahan enam suspek kes buli yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar seperti yang tular di media sosial Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kira-kira 6 petang.

Terdahulu, tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, hingga menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *